Sunday, November 11, 2007

Garis Panduan Paras Siling Bayaran Tambahan Sekolah Dikeluarkan

Bernama, 11 Nov 2007 6:56 PM MYT
 

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pelajaran mengeluarkan satu garis panduan paras siling berhubung kadar bayaran tambahan yang akan dikenakan terhadap pelajar berikutan langkah kerajaan memansuhkan semua yuran di sekolah bantuan kerajaan mulai sesi persekolahan tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata garis panduan itu hanyalah rujukan untuk pihak sekolah membuat penetapan kadar bayaran tambahan yang akan dikenakan kepada pelajar.

"Kementerian meminta penetapan (bayaran tambahan) itu dilakukan melalui perbincangan pihak sekolah dengan PIBG. Kita telah beri garis panduan harga siling bayaran tambahan itu contohnya untuk MSSM (Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia) RM2 dan insuran diri RM1.50.

"Jika pendapatan ibu bapa agak rendah, mereka (pihak sekolah dan PIBG) boleh tetapkan harga lebih rendah lagi dan mereka juga boleh kecualikan ibu bapa yang tidak mampu membayar termasuk golongan miskin serta ibu tunggal dengan memohon kepada Pengarah Pelajaran Negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Pendidikan Terengganu 2007 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini.

Difahamkan garis panduan itu telahpun dihantar kepada semua Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) minggu lepas untuk diedarkan kepada semua Jabatan Pelajaran Daerah (JPD) dan sekolah supaya mereka dapat membuat pilihan terhadap Sistem Pakej Bayaran Tambahan yang akan dilaksanakan itu.

Alimuddin berkata garis panduan itu dikeluarkan bagi memastikan jumlah bayaran tambahan yang dikenakan tidak membebankan para ibu bapa khususnya yang berpendapatan rendah.

Sementara itu, mengikut salinan pekeliling yang diterima daripada JPN Terengganu, Sistem Pakej Bayaran Tambahan itu dikategorikan kepada tiga pakej iaitu A, B dan C untuk sekolah rendah, menengah, mengikut jenis sekolah, lokasi sekolah, bilangan murid dan status sosial ekonomi masyarakat setempat.

Sekolah kategori Pakej A adalah sekolah dalam sosio ekonomi yang tinggi dan majoriti ibu bapanya terdiri daripada kumpulan peniaga besar atau kakitangan awam kumpulan profesional.

Bagi sekolah rendah yang berada dalam kategori ini, harga siling bayaran tambahan antara lain meliputi bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman dan sukan sekolah adalah sebanyak RM38.50, manakala bagi sekolah menengah pula sebanyak RM55.50.

Sekolah dalam Pakej B iaitu sekolah yang berada dalam kawasan sosio ekonomi sederhana dengan majoriti ibu bapa terdiri daripada kumpulan peniaga sederhana atau kakitangan awam kumpulan sokongan, harga siling bayaran tambahan yang ditetapkan adalah RM30.50 bagi sekolah rendah dan RM44.50 bagi sekolah menengah.

Sekolah yang dikategorikan Pakej C adalah sekolah yang berada di kawasan sosio ekonomi rendah dengan majoriti ibu bapa terdiri daripada kumpulan peniaga kecil, bekerja sendiri, pekerja ladang atau kakitangan awam kumpulan sokongan II, sekolah kawasan pendalaman, dan sekolah kurang murid.

Bagi kategori ini, bayaran siling yang ditetapkan adalah RM23.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah.

Menurut pekeliling itu, pihak sekolah diminta memilih satu pakej bayaran tambahan berkenaan dengan mengambil kira persekitaran sekolah, pandangan guru-guru serta PIBG.

Setiap sekolah mestilah menubuhkan Jawatankuasa Khas Penentuan Bayaran Tambahan yang dianggotai oleh wakil guru-guru, ibu bapa dan dipengerusikan oleh pengetua atau guru besar untuk memilih pakej yang sesuai.

Semasa pembentangan Bajet 2008 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat pada 7 September, Yuran Khas di semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan dimansuhkan.

Dalam perkembangan lain, Alimuddin memberi jaminan bekalan buku teks sekolah adalah mencukupi dan akan dihantar ke sekolah-sekolah sebelum sesi persekolahan bermula. — BERNAMA