Umno-BN takut hadapi suara rakyat, peralat polis
Shamsul Iskandar Mohd Akin, Harakah Daily, Sun 9 Dec 2007 10:11 PM MYT
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar tindakan biadap kerajaan menahan lapan individu sewaktu perarakan sempena Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa di Kuala Lumpur hari ini.
Tindakan ini disusuli dengan penahanan pimpinan Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu; Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua dan 12 individu lain yang dikaitkan dengan perhimpunan aman anjuran Bersih pada 10 November lepas.
Siri penahanan ini melengkapkan siri penahanan terbesar dalam sejarah pemerintahan Malaysia di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi selepas penahanan 32 individu rentetan perhimpunan anjuran Hindraf pada 25 November 2007.
Inilah realiti pendaulatan hak asasi manusia di Malaysia, tidak ada ruang untuk rakyat berbeza pendapat dan menyatakan hak demokratik mereka melalui perhimpunan secara aman.
Penahanan ini jelas menggambarkan bahawa kerajaan Umno-BN telah terkeluar daripada landasan demokrasi dengan pencabulan hak asasi yang berterusan ini. Tambah memalukan, penahanan dilakukan dalam keadaan dunia sedang bersedia untuk meraikan sambutan Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa pada 10 Disember 2007.
AMK tegas menyatakan bahawa penahanan ini bermotifkan politik sempit Umno-BN, dan sama sekali tidak ada kaitan dengan keselamatan awam yang dimomokkan oleh Umno-BN melalui media kawalan mereka.
Malah, ini membuktikan bahawa sebenarnya Umno-BN dibelenggu sikap pengecut dan tidak berani berhadapan dengan rakyat sebagaimana yang didakwa Abdullah dalam media Umno-BN hari ini.
Kita tidak tahu, apakah ini akan menggambarkan landskap politik Malaysia di masa akan datang, di mana instrumen kerajaan termasuklah polis akan dimanipulasi secara terus menerus oleh pimpinan Umno-BN yang kian dihambat perasaan takut dan khuatir kehilangan kuasa dek dihukum rakyat marhaen.
AMK menggesa kerajaan membebaskan semua tahanan ini pada kadar yang segera tanpa sebarang alasan. Usah berselindung di sebalik aman demokrasi dan Islam Hadhari sekiranya Umno-BN terus menerus berlindung di sebalik undang-undang untuk mengekang perbezaan pendapat!